Sabtu, 2 Januari 2021

ABU BAKAR ASSIDDIQ



LATAR BELAKANG SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Nama sebenar beliau Abdullah bin Usman bin Amir bin Amr bin Ka’ab bin Taim bin Murrah bin Ka’ab bin lu’ai At-Tamimi al-Quraisyi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Abu Bakar as-Siddiq dalam sejarah Islam. Rangkaian jurai keturunan beliau bertemu dengan rangkaian jurai keturunan Nabi Muhammad s.a.w pada Murrah bin Ka’ab sehingga keduanya sekeduanya seketurunan.

Ibu beliau iaitu Salma binti Shakhar bin Amir bin Ka’ab bin Saad bi Taim bin Murrah. Beliau dilahirkan selepas dua tahun enam bulan Nabi Muhammad s.a.w dillahirkan iaitu pada tahun Gajah. Ini bererti beliau lebih muda dua tahun lebih dari Nabi Muhammad s.a.w. Beliau dilahirkan di Mekah. Dari kecil lagi beliau terkenal dengan sifat yang terpuji antaranya budi pekerti yang baik, mulia, dan banyak lagi.

Abu Bakar mempunyai pelbagai gelaran tetapi beliau lebih terkenal dengan gelaran as-Siddiq yang bererti ‘orang yang benar’ kerana Abu Bakar adalah seorang yang mempercayai setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah. Abu Bakar mempunyai bakat dalam bidang perniagaan. Beliau menjalankan perniagaan beliau di dalam dan luar negeri dengan sifat-sifat yang terpuji seperti benar, jujur, setia dan peramah dengan pelanggannya.

Abu Bakar adalah antara yang terawal memeluk Islam. Pelbagai pendapat bercanggahan mengenai siapa yang terlebih dahulu yanh memeluk Islam. Perbezaan pendapat itu akhirnya dapat dirumuskan oleh Imam Abu Hanifah sebagai berikut:

1. Abu Bakar as-Siddiq daripada golongan lelaki dewasa

2.Ali bin Abu Talib daripada kalangan lelaki kanak-kanak

3. Khadijah dari kalangan wanita dewasa

4. Zaid bin Haritsah Maula Nabi Muhammad s.a.w. daripada golongan hamba lelaki

5. Ummu Aiman isteri Zaid daripada golongan hamba wanita.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia pada tanggal 7 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah selepas memimpin umat Islam sebagai Khalifah al-Rasyidin pertama selama 2 tahun 3 bulan 10 hari. Beliau meninggal ketika berusia 63 tahun dan jenazahnya dimakamkan di samping makam Nabi Muhammad s.a.w.