
Ya ukhti
Izinkan aku bertanya pada imanmu
Sejauh manakah telah kau melangkah
Meniti hari demi hari yang sudah
Kendatipun langit tak selalunya cerah
Tapi jiwamu sentiasa bak pelangi tabah.
Ya ukhti
Telah kau diciptakan dengan kelembutan
Penuh dengan kasih sayang tulus kau abadikan
Aku tak hairan kalau dirimu mudah tersentuh
Aku tak hairan jika manik kacamu berganti silih
Aku tak hairan walau cemburumu hanya kerana kasih
Ya Ukhti
Aku malu dengan dirimu
Kau peduli dan tak pernah kau mungkiri
Janji-janji pada tuhanMu
Onak duri kau tempuhkan, gaung kehidupan kau redahi
Walaupun tanpa Adam di sisi
Kau yakini Allah teman setia menghakis segala persepsi duniawi
Munajat, syukur atas ketentuan Ilahi
Ya ukhti
Kau peihara segala panorama
Tundukkan nafsu saujana
Sedangkan mereka menindas ketaatanmu
Kau sampulkan senyum yang bersuratkan seribu makna
Tak gentar walau dipulau hingga hujung dunia
Kerana kau sedar cinta-Nya tiada batas sempadan
Ya ukhti
Isimu kau belai dengan rapi
Bukan untuk ditatapi mahupun dizalimi
Jauh sekali bagi aku mengadili
Nilai ketaqwaanmu dengan mata kasar
Meski ku tahu kau ditikam ranjau belukar
Tuntas akhirnya kekal bagai mawar yang mekar
Ya ukhti
Aku tahu kau bukanlah sehebat Khadijah
Tidaklah semulia Aishah apatah lagi secekal Fatimah
Namun azammu tak pernah merintih dan mengalah
Kerana kau mahu digelari, dimaktubkan hidupmu
Seorang mujahidah yang mengerti pahit manis perjuangan
Bergadai nafas demi Allah, Rasul junjungan
Bertaruh kudrat demi umat akhir zaman
Ya ukhti
Sayup hatiku bertemu denganmu
Gundah gulana gegak gempita semuanya ada
Namun izinkan aku bertanya buat demikian kalinya
Mahukah dikau menjadi permataku?
Yang ku beli dengan sekudus iman
Walau ku sedar diri cuma gangsa, bukannya intan
Namun hajatku seoptimis segunung harapan
Agar kau bisa menjadi yang terukir dalam taman.
P\S : Cukuplah Imanmu sebagai maharku ..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan